Ahad, 8 Februari 2009

Kepentingan Mempelajari Sejarah

Oleh AZMI AHMAD

Sejarah sangat penting dalam kehidupan manusia dengan menjadi panduan dan iktibar kepada kita untuk memperbaikki kesilapan masa lalu bagi membolehkan kita mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Tanpa belajar daripada kesalahan dan kesilapan masa lalu, kita mungkin mengulangi kesilapan lampau yang bukan sahaja merugikan seseorang individu tetapi mungkin juga kepada keluarga, masyarakat dan negara mahupun bangsa.

Melalui sejarah, kita dapat mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu kemajuan negara. Tidak dapat dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitik-tolak daripada kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara.

Sejarah juga membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Malaysia kini mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Di samping itu sejarah juga dapat memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara. Perasaan ini timbul apabila kita mempelajari sejarah tanahair dan dengan itu akan lahirlah rasa bangga terhadap negara dan bangsa. Tanpa semangat ini, maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang sanggup mengadai dan menjual maruah negara seperti terlibat dengan kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme timbul apabila kita mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta mempunyai pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal untuk memahami kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia yang buta sejarah negara sendiri.

Sejarah juga membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan negara. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan negara.

Jelas kepada kita betapa pentingnya pengetahuan sejarah kepada rakyat Malaysia. Tanpa pengetahuan sejarah terutamanya mengenai pembentukan negara kita yang bermula dengan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, akan lahirlah warganegara tanpa jati diri. Mereka ini tidak menghargai apa yang telah dimiliki pada hari ini dan lahirlah warganegara yang tidak bersyukur, lupa asal- usul, adat resam dan budaya. Tidak hairanlah jika akan lahir rakyat Malaysia yang tamak haloba dalam mencapai matlamat hidup tanpa mempedulikan halal-haram dari aspek undang-undang dan memcampakkan kontrak sosial negara ketepi demi mencapai cita-cita mereka. Hargailah apa yang telah kita kecapi hari ini. Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Hussin Obama dalam ucapan sulung sebagai presiden mengungkapkan: Sejarah akan menilai kita dengan apa yang kita bina dan bukan dengan apa yang kita runtuhkan.

Sabtu, 7 Februari 2009

Sukarkah memahami ketuanan Melayu?

Oleh
Asri Salleh dan Ahmad Suffian Mohd. Zahari

Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan. Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.

Tiada kamus yang mendefinisikan terma 'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada 'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil 'kontrak sosial.'

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan. Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu - dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:

1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)
Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.
Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

2. Artikel 153
Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

3. Kehilangan Singapura
Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.
Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah 'tanah Melayu' merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa 'diketepikan.'

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.
Agenda

4. Malaysian Malaysia
Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan ehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Antara Kesamarataan dan Keadilan

Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.

Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan.
Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.

Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.

Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.

Kelangsungan ketuanan Melayu

Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan 'ketuanan Rakyat' atau Malaysian Malaysia.
Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu - yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah 'Ketua' atau 'Tuan' kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan 'bencana politik' dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi '13 Mei.' Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.

Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

Rabu, 4 Februari 2009

HURAIKAN KEGIATAN EKONOMI YANG DIJALANKAN DI INDIA DAN CHINA SEBELUM KEDATANGAN BARAT

Oleh
Azmi Bin Ahmad

Pengenalan
Sebelum kedatangan Barat, kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China bersifat tradisional atau sara diri.
Aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan di kedua-dua negata termasuklah penanaman padi, tanaman makanan yang lain, penternakan, perikanan, dan kegiatan perdagangan.
Aktiviti ekonomi menggunakan kaedah dan peralatan tradisional.
Hasil daripada kegiatan ekonomi yang dijalankan hanya untuk kegunaan keluarga
terutama di China yang menganggap perdagangan pekerjaan yang hina.

Isi:

India

Penanaman padi

Merupakan kegiatan penting kerana padi merupakan makanan utama.
Terdapat dua bentuk penanaman padi di India iaitu padi sawah dan padi huma.
Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya terutama sekali di lembah Sungai Ganga, Indus dan Mahanadi. Aktiviti ini bergantung kepada air hujan.
Wilayah Benggal di timur laut India menjadi kawasan utama penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Ganga, Sungai Damodar Sungai Yamona dan Sungai Indus.
Penanaman padi sawah juga ditanam di seluruh benua India. Kawasan-kawasan lain termasuklah di lembah Sungai Godavari dan Sg. Krishna di bahagian tengan India.
Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan dan berbukit terutamanya di kawasan pedalaman India.

Tanaman lain

Tanaman lain adalah tanaman makanan termasuklah sayur-sayuran, kekacang dan ubi.
Tanaman lain yang diusahakan termasuklah kapas, teh, dan bijirin seperti gandum dan sekoi.

Perikanan

Kegiatan ini dijalankan di sungai-sungai, tasik dan kawasa pesisir pantai.
India yang terkenal dengan pelbagai lembangan sungai sepert Sg. Ganga dan Sg. Indus turut menyediakan sumber protin melalui kegiatan perikanan darat kepada penduduk India. Perikanan laut di pesisir pantai pula melibatkan kawasan Laut Arab dan Teluk Benggala.
Nelayan bergantung kepada kaedah dan peralatan tradisional termasuklah menggunakan jala, bubu dan pancing.


Ternakan

Merupakan antara kegiatan yang penting sama ada dijalankan sebagai kegiatan utama mahupun sampingan.
Binatang yang diternak termasuklah lembu, kambing, ayam, itik dan lain-lain. Binatang ternak dibiarkan berkeliaran untuk meragut rumputdi sekeliling kawasan perkampungan.
Selain diternak untuk makanan, ternakan juga digunakan untuk kerja-kerja pertanian seperti membajak, alat pengangkutan serta membekalkan baja organik untuk aktiviti pertanian. Bancian pada 1872 mendapati 68.5% orang lelaki dewasa bekerja sebagai petani di India.
Daya pengeluaran dalam kegiatan pertanian sara diri di India rendah kerana penggunaan sistem tradisional dan kebergantungan petani kepada hujan sepenuhnya. Masalah kasta dan penindasan zamindar terus menekan kehidupan petani India dan mengikat mereka terus dengan akiviti tersebut.

Perdagangan

Salah satu daripada tanaman utama di India ialah kapas. Merupakan sumber asas terpenting dalam pembuatan kain kapas sejak berabad lalu.
Kain kapas merupakan salah satu barangan terpenting dalam aktiviti perdagangan India dengan negara luar. Kepentingan penanam kapas berterusan sehinggga abad ke-20.
Barangan dagangan yang lain termasuklah minyak wangi, teh, jut dan kain pelikat.
India mempunyai hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan AsiaTenggara.

China

Penanaman padi

Kegiatan yang penting kerana padi merupakan makanan utama penduduk China.
Dua bentuk penanaman padi yang dijalankan di China ialah padi sawah dan padi huma.
Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya serta dataran subur terutama sekali di lembah-lembah sungai .
Kawasan penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Huang He di China Utara, Sungai Chang Jiang di China Tengah dan Sungai Xi Jiang di China Selatan.
Penanaman padi sawah juga dilakukan hampir di seluruh benua China.
Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan pedalaman dan berbukit terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman China.

Tanaman lain

Tanaman lain yang utama adalah tanaman makanan termasuklah sayuran, kekacang dan ubi.
Tanaman lain yang diusahakan termasuklah kapas, teh, sutera ubatan herba dan bijirin seperti gandum dan sekoi.

Perikanan

Kegiatan ini dijalankan di sungai-sungai, tasik dan kawasan pesisir pantai.
Sungai-sungai utama di China menyediakan sumber protin melalui kegiatan perikanan. Perikanan di pesisir pantai pula melibatkan kawasan Laut Kuning dan Laut China Selatan.
Nelayan bergantung kepada kaedah dan peralatan tradisional termasuklah menggunakan jala, bubu dan pancing.

Ternakan

Merupakan salah satu kegiatan penting sama ada dijalankan sebagai kegiatan utama mahupun sampingan. Binatang yang diternak termasuklah babi, lembu, kambing, ayam, itik dan lain-lain. Selain diternak untuk makanan, ternakan juga digunakan untuk kerja-kerja pertanian seperti membajak, alat pengangkutan serta membekalkan baja organik untuk aktiviti pertanian.

Perdagangan

a. Barangan dagangan utama China ialah sutera, teh dan tembikar.
b. China mengamalkan dasar tutup pintu dan aktiviti perdagangan djalankan secara kecil- kecilan dengan negara-negara jiran khususnya Asia Tenggara.
c. Kegiatan perdagangan dianggap pekerjaan yang hina di China.
d. Keinginan Barat terhadap teh dan sutera telah merubah sajarah negara China apabila dasar tutup pintu telah ditamatkan secara kekerasaan menerusi Perang Candu I 1839 – 1842. China terpaksa membuka pintu perdagangan kepada pihak Barat.

Kesimpulan

Kegiatan ekonomi tradisional atau sara diri merupakan kegiatan yang penting di India dan China sebelum kedatangan Barat.
Kedatangan Barat telah merubah keadaan di India da China yang mana ekonomi tradisional telah berkembang menjadi ekonomi komersil.
Namun begitu faedah yang dinikmati oleh penduduk India dan China hasil perubahan tersebut sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial amat terhad. Pihak Barat mendapat keuntungan yang besar tetapi petani-petani di India dan China kekal dalam kemiskinan.

MELAYU DIKHIANATI

Oleh Awang Selamat

Walaupun banyak kali diperjelaskan tetapi makin ramai pemimpin bukan Melayu mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.
Kenapa perlu takut? Ketuanan atau kedaulatan Melayu lebih bersifat gagasan bagi menggerakkan pencapaian orang Melayu sebagai kaum teras. Ia bukan bermaksud hubungan antara tuan dengan hamba, seperti yang cuba dikelirukan.
Tiada sebab untuk bukan Melayu bimbang. Sejarah membuktikan Melayu adalah kaum yang paling bertolak ansur sehingga sanggup berkongsi kerakyatan dan menjadi pelindung kepada kaum lain.
Jika Melayu adalah tuan seperti yang digeruni, keadaannya mungkin sama dengan pendekatan Zimbabwe yang merampas harta golongan minoriti yang kaya. Selama ini melalui konsep tersebut, kaum Cina yang menguasai kekayaan dan ekonomi negara terus meninggalkan jauh kaum lain termasuk orang Melayu yang masih ramai lagi miskin. Siapa yang lebih tuan? Selama inipun, orang Melayu tidak pernah meminta diri mereka dipanggil dengan istilah tuan.
Semua pihak harus jujur melihat daripada perspektif yang meluas dengan mengambil kira realiti sejarah, politik dan kebudayaan. Malaysia adalah negara yang berakarkan Melayu.
Kalau di Indonesia, terasnya adalah etnik Jawa; Cina di Singapura; Buddha di Thailand; Hindu di India; Kristian di negara Barat maka orang Melayu dan Islam adalah teras di Malaysia.
Yang sedihnya ketika kaum lain semakin mengasak orang Melayu supaya menjadi liberal, bukan Melayu pula semakin bergerak ke arah ultra menuntut lebih banyak untuk kaum mereka.
Apabila Melayu bersuara mempertahankan kepentingan mereka (bukan pun menuntut yang lebih), Melayu dituduh rasis. Tetapi apabila bukan Melayu bersuara menuntut yang lebih, mereka tidak menganggapnya sebagai rasis sebaliknya mendakwa itu tanda keterbukaan.
Semua tekanan ini telah menambahkan keresahan orang Melayu. Segala pengorbanan dan tolak ansur orang Melayu termasuk berkongsi tanah air ini, kuasa politik dan kekayaan, telah dikhianati. Itulah yang makin dirasakan oleh orang Melayu.
Sepatutnya kaum lain juga perlu bertolak ansur dan mengorbankan kepentingan kaum mereka untuk kepentingan nasional. Pelbagai kaum di Singapura dan Indonesia misalnya hanya menggunakan satu bahasa pengantar dan sistem persekolahan yang sama demi perpaduan nasional.
Jika mahu orang Melayu bertolak ansur lagi, bukan Melayu juga perlu berkorban lebih. Janganlah hanya pandai meminta tetapi tidak tahu memberi.

INGAT FAKTA SEJARAH TANAH MELAYU


Oleh MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH


KENYATAAN Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe telah mengundang kontroversi. Pertama, berdasarkan sejarah kata beliau, orang Melayu adalah juga pendatang sama seperti orang Cina dan India. Kedua, dengan nada sinis beliau menyindir UMNO bahawa parti Gerakan selama ini berada dalam telunjuk UMNO. Gerakan tidak mempunyai suara dalam menentukan keputusan kerajaan.
Publisiti murahan jelas menunjukkan bahawa beliau seolah-olah pakar dalam bidang sejarah dan menarik perhatian serta sokongan orang Cina yang telah kecewa dengan Gerakan. Saya tidak pasti apakah latar belakang sebenar kelulusan Lian Hoe sehingga menyebabkan kenyataan seperti ini dikeluarkan.
Saya mungkin dapat menerima serba sedikit pendapat ini jika beliau adalah pakar sejarah. Jika tidak, mungkin ada agenda tersembunyi yang perlu kita lihat secara serius.
Ini kerana selepas pilihan raya umum baru-baru ini, ada beberapa parti komponen Barisan Nasional cuba menggunakan kesempatan ini untuk mengugut UMNO dan kerajaan. Mereka tahu, UMNO kini berada dalam kedudukan yang agak lemah. UMNO memerlukan sokongan parti-parti komponen bukan Melayu untuk memerintah. Justeru, peluang ini digunakan untuk mencapai hasrat yang sekian lama terpendam, termasuk mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu.
Lian Hoe perlu sedar bahawa kemenangan beliau di Parlimen Gerik dalam pilihan raya lalu adalah hasil sokongan pengundi Melayu UMNO. Jika kerusi Gerik itu tidak diberikan kepada Gerakan dan UMNO tidak mengundi beliau, tidak mungkin ada Lian Hoe pada hari ini sebagai Timbalan Menteri Penerangan. Itupun beliau masih tidak bersyukur dan amat kiasu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sebahagian orang Cina tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingatkan bahawa sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan 'Melayu' atau 'Tanah Melayu' itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini.
Nama-nama ini terkenal di kalangan negara China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma- Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).
Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa.
Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu, Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Namun, kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu.
Kalau dahulu, hubungan antara antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.
Orang Cina yang mendatang dapat menjadi warganegara disebabkan oleh proses akomodasi orang Melayu dalam memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada yang berhak tanpa mengira latar belakang.


Penerimaan


Melalui proses akomodasi para pemimpin ketika itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan Jus Soli. Demografi negara berubah serta merta.
Hampir 40 peratus daripada warganegaranya adalah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia. Contohnya, nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu.
Sebelum tahun 1910, kemasukan orang asing semakin bertambah tanpa had telah mengejutkan sultan negeri-negeri Melayu Bersekutu. Mereka memaksa British menghalangnya. Tetapi keperluan pekerja yang mendesak dalam bidang perlombongan dan perladangan menjadi kemasukan mereka tidak boleh ditahan-tahan lagi.
Setiap tahun ribuan pendatang Cina dan India tiba di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1931, apabila bancian dibuat, jumlah orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang Melayu di negeri mereka sendiri (Comber, 2007: xx).
Seramai 1,285,000 orang Cina berada di Tanah Melayu, 33.9 pertumbuhan penduduk ketika itu. Pada tahun 1947, jumlah ini terus meningkat kepada 1,885,000, mewakili 38.4 peratus pertumbuhan penduduk. Dalam kajian yang dilakukan oleh Ardizzone (1946), sebenarnya jika dicampurkan dengan imigran lain, bilangan mereka telah melebihi penduduk asal pada tahun 1946 sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk asal (Melayu).
Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, British kembali semula memerintah Tanah Melayu. Usaha-usaha dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum dan semangat muhibah.
British mengumumkan rancangan Malayan Union pada tahun 1946. Dalam rancangan ini, British mahu menubuhkan sebuah negeri bersatu dan mencipta satu kewarganegaraan yang sama rata untuk semua kaum. Kerajaan British berkuasa penuh terhadap pentadbiran Tanah Melayu.
British berpendapat dengan wujudnya pentadbiran secara berpusat pentadbiran Tanah Melayu akan menjadi lebih berkesan dan efisien.
Mereka bersetuju memberikan kemerdekaan kepada negara orang Melayu, hanya jika mereka bersetuju berkongsi kuasa politik dan ekonomi dengan kaum-kaum yang mendatang (Ling Liong Sik, 1995: 4). Melalui proses akomodasi inilah akhirnya peta Tanah Melayu berubah menjadi masyarakat majmuk.
Bagi memudahkan urusan pentadbiran, British telah mencipta satu istilah bernama Malayan. Malayan dirujuk bukan Melayu yang telah bermastautin lama atau dilahirkan di Malaya. Manakala istilah Melayu atau Malaysians digunakan untuk orang Melayu, Indonesia dan Orang Asli.
Antara ciri Perlembagaan Malayan Union ialah kerakyatan melalui undang-undang berasaskan prinsip jus soli diperkenalkan yakni melalui kuat kuasa undang-undang dan secara permohonan atau kemasukan. Orang Melayu akan menjadi warganegara Malayan Union secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan bermastautin, kelahiran dan sebagainya.
Antara raja-raja Melayu dengan kerajaan British, satu perjanjian baru diwujudkan. Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing kepada British. Undang-undang baru akan diperkenalkan bagi pihak raja-raja.
Ini bermakna, British akan terus menjajah negeri-negeri Melayu termasuk negeri-negeri Selat. Orang Melayu melihat ia adalah satu ancaman kepada hak-hak mereka dan memberi keuntungan kepada orang bukan Melayu (Ongkili, 1985: 39-42, Ruslan Zainuddin, 2005: 550-563, Comber, 2007: xxi).
Reaksi orang Melayu terhadap Malayan Union (Ongkili, 1985: 42-52) memang telah dirasai dan diduga oleh orang Cina sebagai kaum yang mendatang. Orang Cina memang tahu bahawa orang Orang Melayu tidak begitu mudah menerima orang Cina sebagai rakyat Tanah Melayu. Dengan sebab itu, sejak awal-awal lagi orang Cina telah bersiap sedia untuk menghadapi keadaan seperti ini. Mereka mengambil sikap 'tunggu dan lihat' bagi melindungi kepentingan mereka.
Orang Cina menyuarakan pandangan mereka terhadap Malayan Union melalui pelbagai cara seperti pertubuhan, kesatuan dan akhbar-akhbar Cina.
Jelas di sini bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media massa Cina memainkan peranan penting dalam sosialisasi politik Cina. Inilah bentuk dan sikap masyarakat Cina sejak daripada awal lagi berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka tidak akan membiarkan dirinya keseorangan.


Tidak Logik



Mereka sedar bahawa dengan menubuhkan persatuan, adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk memperjuangkan, mempertahankan dan menjaga hak-hak dan kebajikan mereka. Selepas merdeka, keberanian orang Cina semakin ketara apabila Lee Kuan Yew menyuarakan perjuangan Malaysian Malaysia iaitu Malaysia untuk orang Malaysia. Perjuangan ini disambung oleh DAP sehingga ke hari ini.
Dalam Malaysian Malaysia itu nanti kedudukan yang tinggal pada orang Melayu hanya sultan-sultan. Jawatan lain akan dijawat oleh mereka yang berkelayakan tanpa mengira kaum. Kuan Yew memberikan tempoh 20 tahun sahaja kepada Malaysia berperdanamenterikan orang Melayu. Selepas itu sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.
Kuan Yew secara terang-terang menolak hak-hak istimewa orang Melayu. Katanya, "Mengikut Sejarah orang-orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu.
Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha agung UMNO, Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun.
Oleh itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa hanya mereka sahaja adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka".
Pendek kata, Kuan Yew juga menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera gugusan Pulau-Pulau Melayu (Comber, 2007: 114-115).
Kenyataan Kuan Yew ini terus mempengaruhi masyarakat Cina pada hari ini. Lebih dahsyat lagi ada yang berani mengatakan bahawa bumiputera yang sebenar adalah orang asli, dan bukannya orang Melayu. Orang Melayu juga adalah pendatang seperti orang Cina.
Ini bermakna seolah-olah orang Cina menolak negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairan jika perkara berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu tidak mendapat sokongan orang Cina sama ada secara individu, persatuan mahupun parti-parti politik Cina. Mereka menganggap bahawa keistimewaan orang Melayu bersifat sementara.
Mereka mendesak supaya peningkatan terhadap hak-hak mereka turut dilakukan berpegang kepada prinsip kesamarataan.
Sementara orang Melayu berkeras dengan merujuk kepada sejarah hak bumiputera mesti pertahankan dan diberi keistimewaan khusus. Sehingga kini, pertikaian tidak berkesudahan. Orang Melayu mempertahankan kedudukan mereka yang istimewa melawan bukan Melayu (Cina) yang menuntut kesamarataan.
Ketidakpuasan hati orang ini disalurkan melalui akhbar-akhbar berbahasa Cina, ucapan-ucapan awam dan perbualan sesama mereka, sehingga menimbulkan salahfaham dan kadangkala berlaku ketegangan dalam hubungan kaum di Malaysia.
Kesimpulannya, sudah sampai masanya parti Gerakan belajar memahami sejarah negara dan berhenti mengamalkan politik mengugut untuk mendapatkan kepentingan tertentu.
Janganlah gunakan kelemahan yang wujud hari ini untuk mendapatkan publisiti murahan dan mengugut UMNO bagi menunjukkan seolah-oleh merekalah sahaja pejuang rakyat di negara. Tetapi berfikirlah lebih jauh lagi untuk kepentingan rakyat di negara ini.


NOTA: Pendapat ini adala