Selasa, 28 September 2010

SOALAN NO 6: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963.

Pendahuluan (3/2 m)
Pada 31 Ogos 1957 dengan rasminya Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan setelah dijajah selama hampir 450 tahun oleh penjajah Barat dan Jepun. Selepas mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Demokrasi berparlimen ialah satu sistem kerajaan yang dipilih secara bebas oleh rakyat melalui pilihan raya dan bertanggungjawab kepada rakyat. Secara amnya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga badan yang terlibat ,iaitu badan perundangan (legislative), badan eksekutif (executive) dan badan kehakiman (judicial). Pengasingan ketiga-tiga badan dalam pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu disebut sebagai ‘doktrin pengasingan kuasa’.

Isi (20 m)

A. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan

1. Badan Perundangan atau Parlimen

i) Yang Di Pertuan Agong

a. Raja Berpelembagaan merupakan Ketua Negara. Mereka dipilih secara bergilir-gilir pada setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-raja dalam kalangan 9 orang Sultan atau Raja Melayu. Dalam melaksanakan kuasa pemerintahan, Yang Di Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

b. Kuasa Yang Di Pertuan Agong :
• Melantik Perdana Menteri
• Mengisytiharkan pembubaran parlimen atau tidak memperkenankan pembubaran parlimen
• Berkuasa memanggil parlimen supaya bersidang
• Mengisytiharkan undang-undang tentera atau darurat dengan persetujuan Jemaah Menteri
• Bertanggungjawab melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak
• Mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan, kehormatan, kedudukan dan kemuliaan Raja-raja Melayu.
• Mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
• Pemerintah tertinggi angkatan tentera dan ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
• Memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

ii) Dewan Negara

a. Pada prinsipnya ia merupakan majlis tertinggi parlimen, iaitu lebih tinggi tarafnya daripada Dewan Rakyat. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat. Keahlian Dewan Negara terdiri daripada pelbagai golongan, iaitu mewakili semua negeri dalam persekutuan serta dilantik daripada kalangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

b. Anggota Dewan Negara dikenali sebagai Senator dan berkhidmat sebagai anggota dewan selama 3 tahun dan boleh dilantik semula untuk 3 tahun lagi. Sama taraf dengan ahli Dewan Rakyat dan boleh dilantik sebagai Menteri. Mempunyai 69 orang ahli.

c. Keahliannya dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu ahli yang dipilih oleh setiap Dewan Undangan Negeri dan bilangannya ialah 2 orang bagi setiap negeri. Tiga ahli yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong, iaitu 2 orang untuk mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang bagi mewakili Wilayah Persekutuan Labuan. Ahli-ahli yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dan bilangannya ialah 40 orang.

d. Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara hanya berkuasa menangguhkan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan itu daripada dikemukakan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda. Rang undang-undang kewangan hanya boleh ditangguhkan selama satu bulan, manakala rang undang-undang lain selama satu tahun.

iii) Dewan Rakyat

a. Anggota Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Dewan Rakyat pertama kali ditubuhkan selepas pilihan raya 1959. Dewan Rakyat terdiri daripada 193 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia.

b. Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang. Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun dan tamat apabila parlimen dibubarkan oleh Yang Di Pertuan Agong. Seseorang ahli boleh berhenti bila-bila masa daripada menjadi ahli Dewan Rakyat dengan mengemukakan surat perletakan jawatan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

c. Seseorang dianggap hilang kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat jika diisytiharkan sebagai seorang yang tidak sempurna akal, diisytiharkan muflis yang belum lagi dibebaskan, memegang jawatan bergaji, disabitkan dengan sesuatu kesalahan jenayah oleh mana-mana mahkamah, gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan dan memperoleh kewarganegaraan asing secara sukarela dan membuat pengakuan taat setia kepada negara asing itu.

d. Jika berlaku sebarang kekosongan dalam Dewan Rakyat yang disebabkan oleh perletakan jawatan, kematian atau hilang kelayakan, maka kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari mulai tarikh berlaku kekosongan itu di Semenanjung Malaysia atau 90 hari di Sabah dan Sarawak. Satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut. Setiap ahli Dewan Rakyat dikehendaki mengangkat sumpah taat setia kepada negara dan perlembagaan sebelum mengambil tempat dalam dewan.

2. Badan Eksekutif

i) Jemaah Menteri atau kabinet

a Badan pembuat dasar tertinggi negara yang menjalankan kuasa eksekutif. Tugas utama ialah menggubal dasar-dasar kerajaan semua perkara dan memberi arahan kepada jentera kerajaan di peringkat persekutuan melaksanakan dasar-dasar tersebut.

b. Diketuai oleh seorang Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan daripada sebahagian besar ahli-ahli dewan. Tugas utama Perdana Menteri ialah mengetuai kabinet, memimpin kerajaan, menjalankan pentadbiran dan menggubal dasar-dasar kerajaan.

c. Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha-setiausaha parlimen untuk membantu beliau dalam melicinkan urusan pentadbiran kerajaan. Tugas Timbalan Perdana Menteri ialah membantu Perdana Menteri dan menjalankan tugas-tugas itu semasa Perdana Menteri bercuti atau berada di luar negara.

d. Kementerian diketuai oleh seorang Menteri yang akan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai kementerian dan kakitangannya yang dikenali sebagai pegawai kerajaan. Kementerian lazimnya mempunyai bahagian pusat, negeri dan daerah. Selain itu, terdapat juga kementerian yang mempunyai badan tertentu misalnya Arkib Negara Malaysia dan Muzium di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan mempunyai Ketua Pengarah.

e. Perlantikan pegawai dan menjaga disiplin pegawai beberapa Suruhanjaya dilantik. Misalnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Undang-undang dan Kehakiman.

3. Badan Kehakiman

i) Mahkamah Agong/Persekutuan

a. Mahkamah Agong merupakan mahkamah yang tertinggi di Malaysia. Mengandungi Ketua Hakim Negara, kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Borneo serta tujuh orang hakim Mahkamah Agong. Biasanya Mahkamah Agong bersidang di dalam panel mengandungi tiga orang hakim yang dipilih oleh Ketua Hakim Negara.

b. Antara bidang kuasa Mahkamah Agong ialah mendengar dan menentukan rayuan-rayuan kes jenayah dan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, menentukan sah undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memutuskan pertikaian di antara kerajaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atau di antara negeri-negeri dan menasihati Yang Di Pertuan Agong dalam soal menguatkuasa mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

ii) Mahkamah Tinggi

a. Terdiri daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo. Mempunyai kuasa pengadilan asal, rayuan dan pengawasan. Mempunyai kuasa yang tidak terhad dalam menjalankan pengadilan ke atas kes jenayah asal. Biasanya kes-kes jenayah yang terletak di luar bidang kuasa pengadilan Mahkamah Rendah sahaja dibawa kepada Mahkamah Tinggi untuk pengadilan.

b. Mahkamah Tinggi mendengar rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dari Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas keputusan semua kes sivil dan jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah. Keputusan sivil dan jenayah Mahkamah Tinggi boleh dikemukakan untuk rayuan kepada Mahkamah Agong.

iii) Mahkamah Rendah

a. Terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu. Mahkamah Sesyen dipengerusikan oleh seorang pegawai yang digelar hakim. Beliau mempunyai kuasa pengadilan jenayah bagi semua kesalahan kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup.

b. Mahkamah ini mempunyai kuasa membicarakan kes-kes sivil yang melibatkan jumlah wang yang tidak dituntut tidak melebihi seratus ribu ringgit. Mahkamah Majistret pula ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil. Dipengerusikan oleh seorang majistret yang dilantik oleh Raja atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri tempat majistret itu berkhidmat.

c. Mahkamah Majistret terbahagi kepada dua peringkat iaitu Mahkamah Majistret Kelas Satu dan Mahkamah Majistret Kelas Dua. Mahkamah Majistret Kelas Satu boleh membicarakan kes sivil yang nilai harta dalam perbicaraan tidak lebih daripada RM25,000. Dalam kes jenayah, mempunyai kuasa untuk membicarakan semua kes yang hukuman maksimum bagi kesalahan itu tidak melebihi 10 tahun penjara atau dihukum denda sahaja.

d. Majistret Kelas Dua menjalankan tugas-tugas kecil seperti menyebut kes-kes dan membenarkan jaminan. Boleh mengadili kes-kes jenayah yang hukuman bagi kesalahan itu tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja. Kuasa untuk menjatuhkan hukuman juga terhad iaitu tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada RM1000 atau kedua-dua sekali.

Kesimpulan
Secara amnya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963 adalah melalui proses demokrasi. Perlembagaan digubal untuk menjaga kepentingan dan keistimewaan semua kaum yang ada. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang boleh digunakan oleh kerajaan semuanya ditentukan oleh perlembagaan. Jelasnya, doktrin pengagihan kuasa tiga badan yang telah ditentukan seharusnya dipatuhi dan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana badan tersebut.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak

SOALAN NO 5: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan faktor-faktor pembentukan Gagasan Malaysia pada tahun 1963.

Pendahuluan (3/2 m)
Konsep Persekutuan Tanah Melayu pada mulanya dicadangkan oleh Lord Brassey, iaitu Pengarah Syarikat Borneo Utara British pada tahun 1887 yang merangkumi penyatuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo. Pada tahun 1947 Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara mencadangkan idea yang sama. Konsep negara berbentuk persekutuan semakin menarik perhatian apabila Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia dalam Perhimpunan Agong UMNO 25 Disember 1955. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tunku sekali lagi mencadangkan penubuhan Malaysia, iaitu pada 27 Mei 1961. Cadangan ini telah disambut baik oleh kerajaan British kerana tujuan penubuhan Gagasan Malaysia adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang kuat dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Isi (20 m)

Faktor-faktor Pembentukan Gagasan Malaysia

1. Perkembangan politik di Singapura.

a. Ancaman komunis merupakan masalah serius kepada negara. Masalah yang sama turut berlaku di Singapura. Pengaruh komunis meluas di Singapura pada tahun-tahun 1950-an. Fahaman komunis telah merebak ke sekolah-sekolah Cina dan kesatuan-kesatuan sekerja. Fahaman komunis telah menyerap masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada masa itu. Keadaan ini memberi tekanan politik yang kuat ke atas Lee Kuan Yew. Tunku bimbang sekiranya pengaruh komunis di Singapura tidak dibendung kemungkinan besar fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Kejayaan golongan komunis menguasai sebahagian ahli PAP telah membawa kepada penubuhan Parti Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. PAP akhirnya mengalami perpecahan sehingga mengalami kekalahan kepada Parti Sosialis dalam pilihan raya 1961 di kawasan Hong Lim dan Anson. Keadaan ini menguatkan alasan Singapura untuk menyertai Gagasan Malaysia.

b. Lee Kuan Yew cuba menghapuskan golongan kiri dalam PAP dengan menyingkirkan golongan tersebut dari PAP, namun pengaruh golongan kiri semakin berkembang. Keadaan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kemungkinan fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Ketidakmampuan Lee Kuan Yew membendung pengaruh komunis bukan sahaja membimbangkan Tunku tetapi juga membimbangkan Britain dan Amerika Syarikat. Oleh itu, kedua-dua negara itu menyokong gagasan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku.


2. Perkembangan politik di Sarawak.

a. Pengaruh komunis turut berkembang di Sarawak sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Pihak komunis telah menubuhkan Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut pada tahun 1947. Namun, pertubuhan itu diharamkan setahun kemudian apabila darurat diisytiharkan. Bagi menggantikannya sebuah pertubuhan sulit ditubuhkan iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak (SAYA). Pertubuhan ini telah menghasut orang-orang Cina terutamanya dalam kalangan pelajar dan petani. Kesatuan sekerja dan sekolah-sekolah Cina di luar bandar telah digunakan untuk menentang Inggeris. Antara propaganda yang dimainkan oleh pihak komunis ialah sistem pendidikan Inggeris dikatakan mengancam pendidikan Cina.

b. Pengaruh komunis semakin kuat apabila mereka berjaya menembusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Kerajan British telah melancarkan “operasi pisang” bagi membanteras komunis dalam SUPP tetapi gagal. Semua ini telah mendorong kepada pergabungan dalam Malaysia. Selain itu, pihak British bimbang dengan ancaman komunis dari Indnesia. Parti Komunis Indonesia (PKI) telah merebak ke wilayah-wilayah Borneo dan ini telah mengancam kepentingan dan kedudukan British di Sarawak. Kebimbangan semakin memuncak apabila pengaruh PKI mula merebak ke Brunei.

3. Mempercepatkan proses kemerdekaan

a. Penubuhan Malaysia telah mendorong mempercepatkan proses kemerdekaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Ini disebabkan negeri-negeri tersebut berada dalam satu sistem pentadbiran yang sama, iaitu British. Malahan negeri-negeri ini mempunyai hubungan politik dan ekonomi dengan Tanah Melayu semasa pentadbiran British. Oleh itu, Tanah Melayu, Singapura dan negeri-negeri Borneo akan mendapat faedah keseluruhnnya semasa pemerintahan British. Jika Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura memperoleh kemerdekaan secara berasingan sebelum tahun 1963, Tunku berpendapat negeri-negeri tersebut belum bersedia dari segi politik dan sebagainya.

b. Pada masa itu Sabah dan Sarawak mempunyai Majlis Eksekutif dan legislatif yang semuanya dilantik oleh gabenor. Brunei pula diperintah oleh seorang sultan. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan ketara antara pentadbiran negeri itu dengan negeri yang wujud di tanah jajahan British yang berjiran dengannya. Di Sarawak pilihan raya kerajaan tempatan telah diadakan pada tahun 1959 dan 1963, manakala di Borneo Utara pilihanraya pertama Lembaga Bandaran dan Majlis Daerah diadakan pada Disember 1962. Di Brunei pula pilihanraya Majlis Penasihat Negeri diadakan pada Ogos 1962.

c. Kerajaan British telah mencadangkan pemerintahan sendiri bagi wilayah-wilayah Borneo atau bercantum dengan Tanah Melayu. Tunku berpendapat melalui percantuman dengan Tanah Melayu rancangan komunis akan dapat digagalkan dan kemerdekaan negeri-negeri Borneo dapat dipercepatkan. Kerajaan British telah berjanji untuk memberi kemerdekaan dalam tempoh yang terdekat sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bersedia menyertai Persekutuan Malaysia.

4. Keseimbangan Kaum.

a. Kemasukan negeri-negeri Borneo dalam Malaysia juga untuk mewujudkan keseimbangan komposisi kaum. Tunku sedar bahawa kemasukan Singapura akan menimbulkan keadaan tidak seimbang dari segi pecahan kaum di Malaysia. Ini disebabkan lebih 75% penduduk Singapura adalah kaum Cina, sedangkan di Tanah Melayu, orang Melayu hanya 49% dan selebihnya orang Cina dan India. Keadaan ini akan menggugat kedudukan orang Melayu dalam jangka panjang. Orang Melayu berkemungkinan akan hilang kedudukan istimewa dan hak mereka akan dicabar oleh kaum Cina. Tunku berpendapat adalah perlu Sabah, Sarawak dan Brunei dimasukkan ke dalam penubuhan Malaysia.


5. Kerjasama Ekonomi antara wilayah

a. Sebelum penubuhan Malaysia kemajuan ekonomi antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura adalah tidak seimbang. Tanah Melayu, Singapura dan Brunei lebih berkembang pesat akibat ramai pelabur Eropah telah melabur di negeri-negeri berkenaan sedangkan ekonomi di Sabah dan Sarawak masih mundur. Contohnya hasil ekspot bijih timah dan getah telah menyumbang sumber pendapatan terbesar Tanah Melayu. Singapura telah berkembang pesat dalam kegiatan perdagangan. Brunei pula kaya dengan hasil minyak. Oleh itu, penubuhan Persekutuan Malaysia dijangka akan mewujudkan kerjasama dan kesimbangan ekonomi yang menguntungkan kepada negeri-negeri berkenaan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, pembentukan Gagasan Malaysia telah dapat menyekat perkembangan pengaruh komunis di Tanah Melayu, Singapura , Sabah dan Sarawak. Selain itu, pembentukan Gagasan Malaysia juga mempercepatkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Di samping itu, dapat membantu perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak

SOALAN NO 4: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Bincangkan perluasan kuasa Barat di Sabah dari tahun 1865 hingga 1888 dan di Sarawak dari tahun 1840 hingga 1905.

Pengenalan ( 2/3 M )
Perluasan kuasa asing di Sabah bermula dari tahun 1865 melibat beberapa individu mahupun syarikat perdagangan dan kemudiannya pihak British berjaya menguasai Sabah menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada 1881 dan seterusnya mengukuhkan kekuasaanya pada 1888 apabila Sabah menjadi negeri naungan British. Sementara itu perluasan kuasa Barat di Sarawak antara tahun 1840 hingga 1905 dilakukan oleh keluarga Brooke. Perluasan kuasa keluarga Brooke berlaku secara berperingkat-peringkat sehinggalah kewujudan Sarawak seperti yang ada sekarang ada 1905.

Isi ( 20 M )

A. Proses perluasan kuasa Barat di Sabah ( 10 M )

Perluasan pengaruh asing di Sabah melibatkan beberapa tokoh pedagang bermula apabila pada tahun 1865 seorang warga Amerika iaitu Claude Lee Moses mendapatkan dua konsesi pajakan beberapa kawasan di Sabah daripada Sultan Abdul Mu’min (Brunei) selama sepuluh tahun dan tempoh konsesinya boleh diperbaharui. Konsesi pajakan pertama meliputi kawasan dari Sungai Sulaman di pantai barat hingga Sungai Paitan di timur laut. Manakala kensesi pajakan kedua pula meliputi kawasan Benoni, Kimanis, Paitan, Sugut, Bongaya, Babuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan dan Muning.

Namun begitu bagi mendapatkan keuntangan segera, Moses telah menjual hak pajakannya kepada pedagang Amerika di Hong Kong diketuai oleh Joseph William Torrey dan Thomes B. Haris serta seorang pedagang Cina, Wo Hang. Torrey kemudian menubuhkan The American Trading Company untuk memajukan kawasan tersebut. Pemindahan milikan pajakan tersebut telah disahkan oleh Sultan Abdul Mu’min pada 24 November 1865. Sebagaimana Moses, Joseph Torrey juga gagal untuk mengaut keuntungan terhadap pajakan tersebut lalu menjual konsesinya kepada Gustavus Baron de Overback iaitu Konsul-Jeneral Austria di Hong Kong pada tahun 1875.

Disebabkan kekurangan modal, Overback telah menjalankan usahasama dengan syarikat British yang dimiliki oleh Dent Brothers pada tahun 1877. Kerjasama ini telah mencetuskan satu perjanjian baru antara Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min dengan Syarikat Overback dan Dent. Mereka berjaya memperbaharui pajakan sebagaimana yang telah diperolehi oleh Moses tetapi kali ini tanpa had tempoh pajakan. Sultan Abdul Mu’min turut bersetuju menyerahkan semua hak pertuanan dan kedaulatan ke atas kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Sabah kepada Overback dan Dent manakala Sultan Brunei pula telah memperolehi ganjaran $12,000 setahun.

Bagi mengatasi masalah pertindihan kuasa dengan Kesultanan Sulu kerana Sultan Sulu juga dikatakan mempunyai kuasa ke atas Sabah, Overback dengan diiringi oleh Pemangku Gabenor Labuan, Willian Hood Treacher telah menemui dan mengadakan rundingan dengan Sultan Sulu. Hasil rundingan tersebut mereka telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Sulu pada 22 Januari 1878 di Meimbong, selatan Kepulauan Sulu. Menurut perjanjian tersebut, Sultan Sulu iaitu Sultan Jamal Al-Alam bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan hak pertuanan meliputi kawasan dari Sungai Sibuku hingga Sungai Padasan kepada Syarikat Overback dan Dent.

Setelah gagal mendapatkan bantuan kewangan daripada pemodal dan kerajaan Austria, pada tahun 1880, Overback pula telah menjualkan hak miliknya kepada Alfred Dent menyebabkan Dent mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Sabah. Namun begitu Dent pula berhadapan dengan masalah untuk mentadbir Sabah akibat kekurangan modal. Walau bagaimanapun menerusi bantuan beberapa orang pedagang British akhirnya Dent telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Dent telah menjual saham syarikat untuk medapatkan modal di samping memohon untuk mendapatkan piagam diraja. Piagam ini sangat penting bagi meningkatkan nilai perdagangan syarikat serta mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan British serta dapat manghalang kuasa-kuasa Barat yang lain daripada bertapak di Sabah.

Pada 1 November 1881, kerajaan British telah memberikan piagam diraja dan nama syarikat telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Alfred Dent telah dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat yang manakala Willian Hood Treacher pula telah dilantik sebagai Gabenor British yang pertama di Sabah. Melalui pemberian piagam diraja, secara tidak langsung kerajaan British telah berjaya meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Sabah. Pada Mei 1888, penguasaan British di Sabah semakin kukuh apabila Sabah telah dijadikan negeri naungan British (British protectorate state) sebagaimana negeri Sarawak dan Brunei.

B. Proses perluasan kuasa Brooke di Sarawak ( 10 M )

Sepanjang abad ke-19, berlaku beberapa peringkat perluasan kuasa keluarga Brooke di Sarawak yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Brooke telah mendesak Sultan Brunei supaya melepaskan beberapa wilayah yang masih dimiliki baginda. Selepas selesai proses pengambilan wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1905, wujudlah negeri Sarawak seperti yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1846, James Brooke hanya berkuasa di wilayah Sarawak yang meliputi kawasan dari Tanjung Datu sehingga ke kawasan yang terletak di antara Sungai Samarahan dan Sungai Sadong. Wilayah-wilayah lain masih berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei.

James Brooke berusaha untuk memperluaskan lagi kawasannya di Sarawak. Pada Ogos 1853 Sultan Abdul Mu’min telah membuat perjanjian dengan James Brooke dan telah menyerahkan kawasan-kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas, Sungai Kerian dan Kalaka. Melalui perjanjian ini James Brooke bersetuju membayar $1,500 setahun kepada Sultan Brunei.

Perluasan kuasa Brooke berterusan di Sarawak apabila pada Ogos 1861, Sultan Abdul Mu’min yang didesak oleh Brooke terpaksa menyerahkan beberapa lagi kawasan. Sultan Brunei tersebut bersetuju menyerahkan kawasan-kawasan pinggir pantai di antara Sungai Rajang dengan Tanjung Kidurong. Dengan itu Brooke turut menguasai Mukah dan mendirikan kubu-kubu di Kanowit dan Sarikei.

Selepas kamatian James Brooke pada tahun 1868, pentadbiran Sarawak telah diambilalih oleh Charles Brooke. Beliau telah meneruskan usaha-usaha untuk memperluaskan wilayah Sarawak. Pada 1883, beliau telah mengambil wilayah dari Tanjung Kidurong hingga ke Baram. Penyerahan wilayah ini berlaku akibat kegagalan Sultan Brunei mengawal pemberontakan Orang Kayan. Dengan pemgambilan ini, kawasan-kawasan di bahagian pantai dari Tanjung Kidurong hingga ke Sungai Baram termasuk Similajau, Suai, Niah dan Sibuti jatuh ke bawah kekuasaan kerajaan Brooke.

Setelah penyerahan kawasan Sungai Baram kepada Sarawak, pergaduhan telah
berlaku di di kawasan Sungai Trusan. Akibatnya Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min
telah menyerahkan daerah Sungai Trusan kepada Brooke.

Penduduk Limbang di sempadan Brunei-Sarawak telah melakukan pemberontakan
terhadap kerajaan Brunei sejak 1884. Pemberontakan ini berpunca daripada kezaliman pembesar-pembesar Brunei yang memerintah daerah tersebut. Pada Mac 1890, ketua penduduk-penduduk di Limbang telah mengibarkan bendera kerajaan Sarawak untuk mendapatkan perlindungan. Pada Mac 1890, Charles Brooke telah mengambil daerah
Limbang untuk membantu para penduduk yang tertindas. Tindakan tersebut mendapat kebenaran pemerintah Kesultanan Brunei iaitu Sultan Hashim.

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak bertambah luas apabila berlakunya masalah sempadan di antara Sarawak dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ). Charles Brooke telah membeli daerah Lawas daripada SBBU pada 1905. Dengan pembelian Lawas, wujudlah negeri Sarawak seperti mana yang ada sekarang.

Kesimpulan ( 2/3 M)
Penghujung abad ke-19, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah kehilangan hak, kepentingan dan dan ketuanan di wilayah Sabah apabila British melalui SBBU berkuasa sepenuhnya terhadap wilayah tersebut pada 1888. SBBU telah memajukan Sabah demi kepentingan mereka dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan sosial tetapi pada hakikatnya pembaharuan tersebut tidak menguntungkan penduduk tempatan. Proses perluasan kuasa dan wilayah Sarawak telah dimulakan oleh James Brooke pada tahun 1841 dan telah dilenggapkan oleh anak saudaranya Charles Brooke pada 1905 melalui pembelian Lawas. Sarawak di bawah pentadbiran keluarga Brooke telah berkembang pesat dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

Disedikan oleh Azmi Bin Ahmad

SOALAN NO 3: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pendahuluan ( 3/2 m )

Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain. Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu

Isi - ( 20 markah )

i) Usaha H. N. Ridley

a) Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley Getah atau Ridley Gila”.

b) Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas. Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun 1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930 getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

ii) Kemerosotan harga kopi.

Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000 biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.

iii) Permintaan terhadap getah yang meningkat.

a) Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B. Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan 500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

b) Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali “Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam, paip air dan lain-lain.

c) Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope), Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400 tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

iv) Tenaga buruh yang murah

a) British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

b) Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908 sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah yang lebih besar.

v) Penyelidikan getah secara saintifik

a) Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926 kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.

vi) Galakan daripada Kerajaan

a) Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10 sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.
b) Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain. Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

vii) Penglibatan pelabur Eropah

a) Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan (2/3 m)

Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2007
JPN Perak

SOALAN NO 2: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Gerakan penentangan terhadap campur tangan British di Pahang dan Perak pada pertengahan abad ke-19 menggambarkan perasaan tidak puas hati masyarakat tempatan di negeri- negeri berkenaan. Bincangkan.

Pendahuluan ( 3/2 m)

Pada bulan Oktober 1887, Sultan Ahmad melantik Hugh Clifford sebagai wakil British di Pahang. Beliau kemudian diganti oleh J.P Rodger pada bulan Oktober 1888 sebagai Residen British di Pahang yang pertama. Selepas campur tangan di Pahang, British mula mengadakan perubahan dalam pertadbiran negeri dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru yang secara tidak langsung telah mengancam kedudukan para pembesar dan rakyatnya. Penentangan ini berkesudahan dengan kebangkitan Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Di Perak , mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Perak diletakkan di bawah naungan British. Residen pertama British di Perak ialah JWW Birch. Beliau memulakan tugas pada bulan November 1874 . Kehadirannya tidak disenangi oleh Sultan dan pembesar Melayu. Perasaan ini terus berkembang sehingga menimbulkan pakatan menentangnya. Kemuncak penentangan ialah pembunuhan Birch pada 2 November 1875.

Isi (20 m)

A. Pahang (10 m)

1. Perasaan tidak puashati sultan akibat kehilangan kuasa politik.

a. Pengenalan Sistem Residen di Pahang menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar kehilangan kuasa. Pihak British telah memperkenalkan perubahan politik di Pahang melalui undang-undang berkaitan dengan undang-undang tanah , sistem kerah dan penghapusan hamba abdi yang diluluskan oleh Majlis Negeri pada 31 Disember 1889. Sultan tidak berpuashati kerana baginda hanya mempunyai ‘nama’ sahaja dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Semua keputusan adalah dibuat oleh Residen JP Rodger. Selain itu, sultan juga murka apabila J.P Rodger memaksa sultan melantik putera sulung baginda Tengku Mahmud sebagai Pemangku Raja, atas alasan sultan tidak taat kepada Inggeris. Oleh sebab ugutan dan tekanan, sultan terpaksa mengisytiharkan perlantikan itu pada Julai 1889.

b. Sultan Ahmad mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembesar negeri. Jika para pembesar diarah untuk tidak memberi kerjasama sudah tentu ia akan menggagalkan perjalanan Sistem Residen di Pahang. British berjaya memujuk sultan Ahmad menandatangani satu perisytiharan untuk melantik putera baginda (Tengku Mahmud) atau Tengku Besar sebagai Pemangku Raja. Melalui perisytiharan yang bertarikh 22 Julai 1889, baginda memberi kuasa penuh kepada Tengku Mahmud untuk mewakili baginda dalam urusan pentadbiran negeri serta mengadakan rundingan dengan British.

c. Tindakan sultan menyerahkan kuasa kepada Tengku Mahmud merupakan satu kesilapan besar . Kuasa baginda telah berpindah kepada Tengku Mahmud yang dilihat mudah diperalat oleh Inggeris. Hubungan Sultan Ahmad menjadi tegang. Bagi meredakan keadaan, pada bulan Disember 1889 Sultan Ahmad membuat keputusan meninggalkan Pekan dan menetap di Pulau Tawar kerana daerah itu di bawah jagaan Tok Gajah, iaitu seorang pembesar negeri yang sangat dipercayai. Sultan berpakat dengan pembesar-pembesar untuk menentang Sistem Residen di Pahang.

2. Ketidakpuasan hati pembesar-pembesar Pahang

a. Antara perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran ialah dengan membahagikan Pahang kepada 6 buah daerah. Setiap satu diletakkan di bawah pentadbiran Majistret dan Pemungut Hasil. Pekan di bawah F. Belfield, Hulu Pahang (W.C Mitchell), Kuantan ( W.H Wall), Temerloh (E.A Wise), Rompin (G.F Owen), Kuala Pahang (W.W Mitchell). Akibat pengenalan beberapa peraturan baru terutama berhubung dengan perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua setiap daerah, para pembesar tidak lagi bebas kerana kuasa mereka telah diambil alih khususnya hak memungut cukai.

b. Pendapatan pembesar terjejas teruk, misalnya elaun yang dicadangkan pihak Inggeris amat tidak berpatutan. Pembesar-pembesar seperti Tok Gajah, Temenggung, Dato’ Shahbandar, Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Chenor, Tok Gajah, Orang Kaya Temerloh, Orang Kaya Semantan dan Abdullah dari Bera hanya dibayar elaun $1200 setahun dan Dato’ Bahaman dibayar $840 setahun. Pembesar-pembesar ini menulis surat enggan bekerjasama dengan Residen dan mengancam tidak akan mematuhi segala keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Negeri. Malangnya elaun ini tidak mencukupi untuk menanggung pengikut-pengikut mereka.

c. Inggeris juga campur tangan dalam soal perhambaan dan kerah yang diluluskan oleh mereka. Setiap pemilik hamba diwajibkan mendaftarkan hamba-hambanya kepada Pemungut Cukai Daerah dengan memberi maklumat secara terperinci seperti jumlah hamba dan nama hamba, jenis pekerjaan dan jumlah hutang. Mereka yang gagal mematuhi akan kehilangan hak ke atas hamba tersebut.

d. Mengenai undang-undang kerah setiap orang yang dikenakan kerah tidak boleh lebih daripada dua bulan dalam setahun. Mereka dihadkan kerja secara kerahan kepada kerja-kerja kerajaan sahaja. Antara kerja kerahan yang dilakukan ialah membersih sungai, membuat jalan, menebang kayu, menanam padi, mengangkat barang-barang, dan menemani ketua mereka dalam perjalanan. Setiap orang diwajibkan kecuali sakit atau munasabah. Sekiranya tiada alasan mereka dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak 25 sen sehari.

e. Perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua daerah telah menyebabkan mereka tidak lagi mengadili kes-kes jenayah dan sivil serta memungut cukai di kawasan masing-masing. Dato Bahaman menentang Inggeris kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun-elaun yang setanding dengan elaun Orang Berempat, iaitu sebanyak $500. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70. Tindakan ini menyinggung perasaannya. Beliau juga marah apabila Inggeris membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan yang di bawah jagaannya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Beliau menulis surat kepada Majistret di Temerloh tetapi tidak dilayan sebaliknya diberi amaran.

f. Seorang lagi pembesar yang hilang hak ke atas cukai ialah Tok Gajah. Beliau adalah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857- 1863) beliau dianugerahkan gelaran Orang Besar Raja. Beliau marah kepada Inggeris apabila rayuannya untuk menambah elaun ditolak oleh pihak Inggeris pada bulan Januari 1890. Permintaannya supaya menangguhkan pembayaran cukai tanah juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya Mat Kilau dalam penentangannya terhadap Inggeris.

3. Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

a. Pihak Inggeris memperkenalkan undang-undang baru yang menjejaskan penghidupan seharian mereka. Antaranya cukai tanah kampung, paya, dusun dan tanaman nipah pada kadar 40 sen seekar dikenakan ke atas tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah. Sistem permit dan lesen digunakan untuk membolehkan rakyat memungut hasil hutan dan pokok nipah untuk mendirikan rumah. Dahulu diperoleh secara percuma. Rakyat juga dikehendaki bekerja selama dua bulan dalam setahun sebagai buruh paksa bagi melaksanakan projek-projek awam. Sekatan yang tidak membenarkan rakyat tempatan membawa senjata seperti keris ke mana sahaja mereka pergi. Pihak yang dibenarkan membawa senjata hanyalah pengawal peribadi dan pengikut mereka yang terdekat.

b. Peraturan yang melarang membawa senjata ternyata bercanggah dengan tradisi orang Melayu yang sangat terikat dengan nilai-nilai feudalisme kerana senjata merupakan alat mutlak yang sangat diperlukan. Keris umpamanya, bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga menjadi pakaian dan simbol keberanian seorang lelaki Melayu Pahang.

c. Kebencian rakyat juga berpunca daripada kehadiran pasukan polis kaum Sikh dan India yang jahil tentang budaya Melayu. Penubuhan pasukan polis pada tahun 1888 telah menghapuskan kuasa penguatkuasa undang-undang yang dipegang oleh Sultan dan pembesar. Pasukan polis ini terdiri daripada 200 anggota, 150 Melayu (Kelantan dan Terengganu), 50 Sikh di bawah pimpinan Mr. Syers.

B. Perak (10 m)

1. Kelemahan Perjanjian Pangkor 1874

a. Walaupun perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch hanya memulakan tugasnya sebagai Residen British di Perak pada 4 November 1874, iaitu hampir 10 bulan kemudian. Kelewatan ini membolehkan pembesar-pembesar yang tidak berpuashati dengan Sistem Residen telah menentang Raja Abdullah. Sepanjang kelewatan Birch hadir memberi peluang kepada Sultan Abdullah memerintah Perak dengan sebebas-bebasnya. Baginda dikatakan banyak menghabiskan masa dengan berjudi, menyabung ayam dan menambahkan hutang. Perjanjian Pangkor membolehkan Sultan Abdullah dilantik menjadi sultan. Namun demikian, baginda masih gagal menyelesaikan masalah tuntutan takhta oleh Raja Ismail dan Raja Yusof. Raja Ismail masih tidak menyerahkan alat-alat kebesaran negeri yang menjadi syarat kepada pertabalan sultan.

b. Birch telah melanggar syarat yang diperuntukan dalam perjanjian Pangkor. Mengikut perjanjian tersebut sempadan Dinding dan Pangkor yang diserahkan kepada pihak British mengikut perjanjian Low akan dikembalikan semula. Tindakan yang sama juga diambil ke atas sempadan di Sungai Kerian. Walaupun begitu, dalam penyelesaian sempadan ini kawasan lebih kurang 200 batu persegi termasuk sebahagian Selama yang mempunyai banyak bijih timah dimasukkan ke dalam pentadbiran British. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar Perak.

2. Kelemahan Peribadi Birch

a. Perlantikan Birch sebagai Residen tidak disenangi oleh Sultan Abdullah dan para pembesar. Birch dianggap tidak sesuai kerana beliau tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Beliau tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami budaya dan adat resam Melayu. Kekurangan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjalin hubungan dengan sultan dan pembesar Melayu. Birch juga dilihat tidak sabar dan enggan bertolak ansur apabila berurusan dengan sultan dan pembesar. Ia bertentangan dengan adat Melayu yang menjunjung tinggi sultan dan pembesar sebagai pemimpin yang dihormati.

b. Birch juga tidak peka dengan perasaan orang Melayu. Pembaharuan yang dilakukan dibuat secara tergesa-gesa tanpa berunding dengan Sultan Abdullah. Sultan Abdullah pernah mengingatkan Birch supaya memberitahu baginda dahulu sebelum pembaharuan dibuat. Birch mengarahkan sultan Abdullah berdiam diri dan menurut segala nasihat yang diberi. Tindakan ini menyebabkan Sultan Abdullah mengutus wakil baginda, Raja Idris, Laksmana dan Muhammad Arshad untuk bertemu Sir Andrew Carke tetapi tidak dilayan malah Sultan Abdullah diminta mematuhi nasihat Residen. Dalam usaha melaksanakan pembaharuan Birch telah menggunakan tekanan kepada Sultan Abdullah. Beliau pernah mengugut akan menyerahkan jawatan sultan kepada Raja Yusof sekiranya sultan enggan menandatangani perisytiharan tersebut.

3. Pembaharuan-pembaharuan Birch.

a. Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Birch seperti pungutan cukai, sistem kewangan dan perlembagaan. Birch telah membatalkan pajakan Kuala Sungai Perak yang dibuat oleh Sultan Abdullah dengan Lee Cheng Tee dengan kadar $26,000 setahun, selama 10 tahun. Birch mengarahkan saudagar tersebut memohon semula pajakan berkenaan.

b. Birch juga telah membatalkan cukai bijih timah di Batang Padang yang sebelum ini dinikmati oleh sultan, dan diganti dengan bayaran royalti $9.00 bagi setiap bahara yang dipungut di Kuala Perak. Bagi mendapatkan wang kerajaan negeri telah memusatkan pungutan cukai dengan meletakkannya di bawah pegawai Eropah. Hanya pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen, sebagai wakil sultan dibenarkan mengutip cukai. Pembesar lain tidak lagi dibenarkan memungut cukai dan mereka yang engkar akan didenda. Arahan ini bercanggah dengan nilai-nilai yang diwarisi sejak turun temurun. Pembesar-pembesar Melayu telah dianugerahkan kawasan oleh sultan dan ini memberi kuasa untuk mentadbir dan memungut cukai di kawasan masing-masing. Cukai merupakan hasil utama pembesar. Misalnya Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor mendapat hasil daripada setiap perahu yang keluar masuk.

c. Dalam melaksanakan peraturan cukai baru ini, Birch bertindak keterlaluan iaitu, dengan membakar rumah Raja Ngah di Bidor kerana memungut cukai daripada pelombong Cina di situ. Raja Ngah adalah saudara kepada Raja Ismail. Sebelum ini, baginda bersifat berkecuali tetapi tindakan Birch ini telah menimbulkan dendam terhadap beliau.
d. Birch juga campur tangan dalam soal perhambaan yang diamalkan di Perak. Sistem ini menjadi kebanggaan para pembesar Perak sejak sekian lama. Kebanyakan hamba yang lari adalah wanita yang diberi perlindungan oleh Birch di rumah kediamannya di Bandar Bahru. Hamba-hamba ini tiada dikembalikan kepada tuan punya sehingga menimbulkan syak wasangka tentang moral Birch. Beliau juga dikatakan menyeludup seorang perempuan Melayu ke Pulau Pangkor. Tuntutan Sultan Abdullah terhadap hamba-hamba ini dikembalikan tidak dilayan oleh Birch.

e. Penubuhan balai-balai polis di Kuala Kurau, Bruas, Kota Setia, Durian Sebatang, Tanjung Piandang, Bidor, Kuala Kangsar, Trong dan Lumut telah menyebabkan pegawai polis mengambilalih kuasa pentadbiran di peringkat tempatan. Jawatan penghulu yang dilantik oleh Sultan dan pembesar dengan menggunakan sistem warisan telah terjejas.

f. Birch juga telah menyusun semula cukai-cukai pajak candu, arak, judi, permit balak, cukai perahu, senjata, padi dan memotong atap. Cukai-cukai turut dikenakan ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu nelayan yang boleh membawa 3 orang di dalamnya dikenakan cukai 50 sen. Perahu dagang dan tongkang dikenakan $1.00. Sesiapa yang melanggar arahan akan didenda $25.00 dan perahu mereka akan dirampas.


Kesimpulan (2/3 m)

Perasaan tidak puas hati ini mencapai kemuncak pada Oktober 1875 apabila satu mesyuarat diadakan di Pasir Panjang yang dihadiri oleh Dato Maharaja Lela, Dato Sagor dan Syahbandar. Dalam mesyuarat itu mereka bersetuju untuk membunuh Birch. Peristiwa ini berlaku pada 2 November 1875. Peristiwa ini telah membawa kepada peristiwa Perang Perak yang belaku pada November 1875 dan berlanjutan hingga 1876. Sementara di Pahang, kebangkitan menentang British memakan masa yang panjang. Ia berlarutan dari tahun 1891 hingga 1895. Walaupun British berjaya mematahkan penentangan ini, namun ia memberi kesan terhadap pentadbiran, terutama kedudukan kewangan Pahang. Masalah kewangan menyebabkan mereka menyertai Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak

Isnin, 6 September 2010

SOALAN NO 1: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan (3/2 markah)

Sebelum campurtangan British di Perak pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Selepas Islam bertapak gelaran raja bertukar menjadi sultan dan dianggap sebagai ‘Amirul Mukminin’ atau pemimpin bagi orang mukmin. Kerajaan-kerajaan yang menerima warisan kesultanan Melaka seperti Johor, Pahang, Perak dan Kedah mengekalkan gelaran sultan sehingga abad ke-19. Begitu juga Kelantan dan Terengganu. Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yamtuan Besar manakala Perlis yang mengekalkan gelaran Raja. Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

Isi – (20 markah)

Politik

Ketua kerajaan

Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah.

Melantik pembesar

Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

Sehingga tahun 1874 di Perak, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar. Tiada ketetapan dibuat mengenai jawatan Orang Kaya Besar dan Jawatan Menteri dipegang pembesar Larut. Pembesar Berlapan yang dilantik sultan ialah Maharaja Lela iaitu pembesar Pasir Salak, Laksmana pembesar Durian Sebatang, Sri Andika Raja, pembesar Ulu Perak, Shahbandar, pembesar Daerah Bandar di Hilir Perak, Panglima Kinta iaitu pembesar daerah Kinta, Panglima Bukit Gantang, Sri Agar diraja ,pembesar Kampong Gajah dan Imam Paduka Tuan, iaitu satu jawatan agama Islam. Sementara di Selangor pula beberapa jawatan pembesar yang dilantik oleh sultan ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru dan Orang Kaya Kechil.

Sultan juga melantik pembesar-pembesar daerah menerusi sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya. Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

Sultan menentukan hubungan diplomatik

Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tanda tangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1875 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan antara sultan dengan pada pembesar.

Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875 pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tanda tangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

Sultan berperanan sebagai ketua pertahanan

Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Pada tahun 1830 an-1870an di Negeri-negeri Melayu tidak terdapat peperangan luar yang serius atau ancaman perang. Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja.

Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun 1865-1875 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

Ekonomi

Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

Sosial

Lambang dan memelihara perpaduan negeri.

Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri, selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya. Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat-pusat kuasa tempatan. Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.

Namun demikian, untuk menjaga kepentingan perdagangan, pertahanan negeri dan ketenteraman dalam satu kawasan yang lebih luas dari sebuah daerah memaksa mereka tunduk kepada sultan . Mereka tidak bersedia untuk memusnahkan kesultanan itu sendiri, walaupun pertentangan dan perebutan takhta sering berlaku dalam kalangan pembesar. Mereka melihat tidak ada satu sistem lain sebaik sistem beraja yang diamalkan.

Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.


Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu

Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

Hanya sedikit sahaja istiadat yang dihadiri oleh sultan sebagai pemimpin rakyat . Peranannya tidak begitu aktif. Upacara-upacara besar dalam masa pemerintahan baginda ialah hari pertabalan dan pemakaman. Pada masa ini pembesar dan rakyat jelata akan berhimpun. Pada masa perayaan besar tahun Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.


Kesimpulan (2/3 markah)

Kesimpulannya, sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah menjejaskan kedudukan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Sultan kini hanya berkuasa dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja , semua kuasanya yang lain dibolot oleh Residen Inggeris.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2009
JPN Perak