Selasa, 11 Jun 2013

Bentuk dan pelaksanaan Adat Perpatih dan Adat Temenggung di Tanah Melayu

Masyarakat Melayu tradisional amat terikat dengan adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan secara turun temurun sehingga ianya merupakan hukum yang dipatuhi oleh semua. Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat ini tidak pernah ditulis tetapi dihafal sahaja oleh Ketua Adat. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu tradisional. 

Kawasan dan Pengasasan              
Kedua-dua adat ini berasal dari Utara Sumatera. Menurut Terombo atau "Lagu asal usul adat", Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera, diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, menjaga kawasan pesisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 lagi. Diamalkan oleh semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.  Adat Perpatih pula berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat ini dibawa oleh orang Minangkabau ke negeri Sembilan pada kurun ke-17.

Bentuk dan Pelaksanaan
Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali di negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu; adat ini mempunyai pengaruh agama Hindu terutama dalam Undang-undang Manu. Apabila Islam berkembang, adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mengikut mazhab Shafie. Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama yang berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenal sebagai Undang-undang Johor, di Kedah sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang, dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.  Adat Temenggung dihafal dan diingati serta dilaksana oleh Tok Sidang, Penghulu atau Penggawa.

Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak yang dipatuhi dari mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.

Kekeluargaan 
Adat Temenggung bersifat patriarchal, iaitu kaum lelaki lebih diutamakan.  Ini adalah kerana kaum lelaki dianggap melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga.  Dalam Adat Temenggung, kaum lelakilah yang menjadi ketua keluarga. Jadi, nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa.

Adat Perpatih bersifat matriarchal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat. Hanya kaum wanita yang mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Ini bermakna mereka mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Anak perempuan menjadi asas wujudnya suku.  Suku bermaksud keluarga, oleh itu hidup secara bersuku-suku bermaksud hidup secara berkeluarga dan semua ahli-ahli suku dianggap sebagai saudara .  Susunan keluarga masayarakat adat Perpatih berdasarkan 'matrilineal' yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga  sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. 

Perkahwinan               
Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja kecuali dengan orang yang mempunyai pertalian darah atau muhrim sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

Adat perpatih pula tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Oleh itu perkahwinan mestilah dengan suku yang berbeza - disebut eksogami. Perkahwinan sesama suku tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan. Apabila seseorang anak perempuan kahwin, suaminya digelar 'orang semenda'. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa suaminya tinggal  di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. 

Pemerintahan        
Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan  pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat diraja bergelar yang berhak, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu, dan pembesar wilayah atau jajahan. Di lapisan bawah ialah ketua kampung yang mentadbir kampung. Sultan merupakan ketua negara, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat. Seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung. Gelaran pengganti raja ialah Raja Muda. Jika tiada anak lelaki , hakpewarisan takhta jatuh kepada adik lelakinya pula. Jika kedua-dua tiada, barulah musyawarah dan permuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran.

Dari segi pentadbiran, Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah terletak bukan pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas. Orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih  dan melantik Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan. Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip permuafakatan. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Walaupun dari segi bidang kuasa, Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi, namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut dibuat oleh para pembesar yang berada pada hierarki yang lebih ke bawah daripada Yamtuan Besar.

Pembahagian Harta           
Mengikut Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam. Pemberian harta lebih kepada anak lelaki kerana dalam Islam, lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan perempuan. Jika berlaku perceraian, lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak, dan jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja, berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Harta asal suami atau isteri  dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Undang-undang mewarisi harta dalam Adat Perpatih diberatkan kepada kaum perempuan. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuannya. Dalam keadaan tertentu, adat Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan diwariskan kepada adik perempuannya atau anak adik-adiknya dan cucu-cucunya.

Pada umumnya harta pasangan dapat dikumpulkan kepada tiga jenis iaitu ; Harta carian - merupakan harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup, Harta dibahagi dua apabila bercerai;  Harta dapatan - harta sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin, jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri; dan Harta pembawaan - harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia berkahwin, jika bercerai bekas isteri tidak boleh tuntut harta itu.

Pelaksanaan Undang-undang      
Adat Temenggung bentuk hukumannya keras dan bertujuan menghukum dan berpegang kepada prinsip pembalasan.  Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas, bertujuan memberi iktibar kepada orang lain. Secara umumnya adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana difikirkan dapat memberi kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Hukuman yang paling berat ialah membunuh dan menderhaka kepada raja. Dari segi kuasa, kesemua pembesar termasuk sultan dan penghulu mendapat mandat dalam melaksanakan hukuman.

Dalam adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi gantirugi. Contohnya seseorang yang cedera akan diberi gantirugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya. Mangsa kecurian boleh mendapat balik barang-barangnya. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukum bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Undang atau Yamtuan Besar sahaja. Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Kesimpulannya, walaupun Adat Perpatih dan AT menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu, tetapi kedua-dua adat ini telah dapat mengawal tingkah laku masyarakat. Malangnya selepas campur tangan British adat semakin diketepikan dan tidak mustahil adat akan hanya menjadi kenangan dalam lipatan sejarah.


Peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874

Pembesar merupakan golongan yang sangat penting dan berpengaruh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu, taraf tersedia dan taraf capaian. Taraf tersedia, iaitu jawatan diperoleh secara warisan, apabila seseorang pembesar meninggal dunia maka anak akan menggantikan tempatnya.Taraf capaian, pembesar yang dilantik kerana kehebatan dan ketokohan yang dimiliki oleh seseorang

Pembesar berperanan utama dalam politik.
Mereka merupakan golongan yang memonopoli kuasa politik. Mereka juga berperanan dalam melantik raja/sultan, contoh di Negeri Sembilan, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Johol) akan melantik Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di Perak pembesar berkuasa melantik sultan dan mereka berpengaruh dalam menentukan perlantikan seseorang bakal sultan. Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak disukai, contoh Raja Yusuf gagal menjadi sultan kerana baginda gagal mendapat sokongan dan diketepikan oleh pembesar.

Membantu raja dalam pentadbiran
Pembesar berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri.
Mereka mempunyai cop mohor sendiri., contoh di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah membentuk Jemaah Menteri yang terdiri daripada 7 orang pembesar untuk memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di Johor Sultan Abu Bakar memperkenalkan satu perlembagaan berasaskan perlembagaan British. Menurut perlembagaan ini satu Jemaah Menteri yang dianggotai  oleh pembesar telah dibentuk untuk memberi nasihat kepada sultan.

Pentadbir  wilayah luar
Pembesar turut membantu sultan mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah. Kawasan ini  dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kepada pembesar kerana jasa perkhidmatan cemerlang. Contoh Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar Semantan, Tok Gajah dilantik mentadbir Puau Tawar. 

Mengutip cukai
Pembesar berperanan dalam hal memungut cukai di kawasan pentadbirannya yang dipanggil kawasan pemakanan. Biasanya barang-barang itu dikenakan cukai 10% dan dibayar dengan barangan. Sebahagian daripada hasil cukai diberi kepada pemerintah, contoh di Perak, sultan berhak mengambil $ 6.00 dari setiap bahara (400 paun) bijih timah yang diekspot. Di Negeri Sembilan, Sungai Linggi menjadi kawasan pemungutan cukai terhadap bijih timah yang dibawa keluar dari sungai berkenaan sehingga  menjadi rebutan di antara Dato’ Bandar dengan Dato’  Kelana.

Terlibat dalam kegiatan ekonomi
Pembesar juga menjalankan kegiatan ekonominya sendiri seperti perlombongan bijih timah, pertanian dan berdagang. Ini menyebabkan di tempat-tempat tertentu pembesar lebih kaya daripada sultan, contohnya di Perak, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut lebih kaya daripada sultan.  Pembesar juga terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan keizinan sultan. Mereka menjadi pengeluar  modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Bagi mempastikan urusan perdagangan berjalan lancar pembesar akan menentukan timbangan dan sukatan yang betul.

Menjaga keamanan
Pembesar berperanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, contohnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan. Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada Sultan.  Pembesar juga berperanan dalam menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi perdagang-pedagang, menjaga kebajikan pedagang asing, menyediakan tempat perniagaan dan gudang untuk menyimpang barang.

Perantara antara raja dengan rakyat
Pembesar juga berperanan sebagai penghubung antara sultan dengan rakyat.  Segala masalah rakyat akan disampaikan kepada raja/sultan melalui pembesar dan begitu juga dengan titah sultan akan disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.

Menyediakan tentera
Pembesar juga bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan ketenteraan untuk mempertahankan negara.   Sultan tidak mempunyai tentera yang mana tentera untuk sebarang kegitan akan isediakan oleh para pembesar termasuklah untuk ekspidisi memperluaskan empayar jika ada.

Menjadi hakim
Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman dan mendenda dalam kes-kes jenayah di daerahnya. Pada masa itu tidak ada badan  kehakiman bebas daripada pemerintah sebaliknya sultan dan pembesarlah yang mentadbir undang-undang. Pembesar boleh menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhkan oleh sultan.

Membekalkan tenaga kerja
Pembesar juga dikehendaki membekalkan tenaga buruh kepada raja seperti membina istana baru, membina kapal raja, membina panggung dan pentasa serta perhiasan istana untuk menyambut perayaan adat dan agama. Ini dilakukan melalui sistem kerah.  Pembesar juga mengetuai kerja-kerja sosial seperti membina surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Pembesar juga berperanan dalam menjalankan adat istiadat di istana

Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sebelum campur tangan British.Namun selepas campur tangan British peranan pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran British sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan majisterit yang mengambil alih tugas dan peranan pembesar. Tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.

Peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan  peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sultan sebagai ketua kerajaan
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah  sultan kerana  dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah
               
Peranan sultan melantik pembesar
Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.  

Sultan menentukan hubungan diplomatik
Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang  tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan

Sultan berperanan sebagai ketua tentera.
Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi.
Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang  lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Kesemua tanah adalah milik sultan dan diserahkan kepada pembesar untuk diusahakan.

Berkuasa terhadap cukai
Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Baginda melantik pembesar untuk mewakili baginda dalam urusan memungut cukai.  Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang (Raja Mahdi).   Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani.  

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem  kerah.
Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat.
Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan.  Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran  itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.  Baginda juga bertanggungjawab untuk memastikan adat istiadat dan adat resam masyarakat Melayu terus terpelihara.